Padah! Aksi Berani Mati Wanita Bertudung Dicekup Mencuri Wang Rm 500 Dikanduri Kahwin|Seorang wanita berusia 25 tahun dicekup mencuri di sebuah majlis
perkahwinan di Kampung Selabak, tengah hari semalam oleh ibu saudara pengantin lelaki ketika dia bergegas mahu beredar dari rumah terbabit. Wanita terbabit yang mempunyai seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, tanpa segan silu mengaku sudah lama melakukan kegiatan tersebut di majlis-majlis perkahwinan dihadirinya. Ibu saudara pengantin lelaki, Rohana Osman berkata, dia mula mengesyaki wanita terbabit setelah melihat dia merayau-rayau di dalam rumah dalam keadaan mencurigakan. “Kemudian saya lihat dia naik ke atas dan tiba-tiba turun dengan tergesa-gesa dan menuju ke pintu utama untuk keluar dari rumah. “Saya kemudian mengejar wanita itu dan menarik beg tangannya ketika dia ingin melangkah keluar rumah. Alangkah terkejutnya saya bila lihat zip begnya terbuka dan ada beg kulit berwarna hitam milik saya di dalamnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini. Menurutnya, dia terus menarik keluar beg tangannya dari dalam beg wanita terbabit dan berlaku adegan tarik-menarik hingga menarik perhatian tetamu yang sedang menjamu selera. “Saya terus tanya dia bagaimana beg saya boleh berada di dalam beg tangan awak? Dan dia jawab, dia mencurinya dan sudah biasa melakukan kerja tersebut di beberapa rumah orang lain yang mengadakan kenduri kahwin sebelum ini. “Selepas berjaya merampas beg tangannya, kami selongkar dan jumpa sebuah lagi beg tangan kecil yang mengandungi wang tunai sebanyak RM500,” katanya. Rohana berkata, wanita yang mendakwa berasal dari Seberang Perak itu kemudian merayu supaya tidak diserahkan kepada polis dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut. Bagaimanapun, wanita itu diserahkan kepada anggota Rela yang bertugas ketika itu sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan selanjutnya. Rohana berkata, insiden itu sesuatu yang memeranjatkan dan situasi tersebut pertama kali dilaluinya. Katanya, beg tangannya yang mengandungi wang tunai berjumlah RM800 hampir dilarikan wanita terbabit. Sementara itu, bapa pengantin lelaki, Hassan Kamar berkata, dia tidak mengenali wanita berkenaan malah tidak pernah mengundangnya hadir ke majlis perkahwinan anaknya. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
No comments:
Post a Comment